3.10.11

Biarlah.....


Biarlah dia seorang yang buta
kerana matanya sunyi dari melihat
perkara-perkara maksiat dan laghah...
kerana kedua matanya terpelihara
dari memandang kekejaman sesama insani
asalkan kedua matanya terang
dalam mensyukuri keagungan ciptaan Allah
asalkan dia celik menginsafi kehidupan ini
yang bersifat sementara......


Biarlah dia seorang yang bisu
bisu dari pujuk rayu yang menggoncang keimanan
bisu dari ungkapan yang meracun fikiran...
bisu dari perkataan sia-sia
yang dapat mengundang kekufuran...
asalkan bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah
asalkan lidahnya tidak lekang dari kalimah Allah
asalkan dia petah membangkang kemungkaran
dan lantang menyuarakan kebenaran...


Biarlah dia seorang yang tuli
dari mendengar kata-kata nista
dari mendengar segala umpat fitnah dunia
yang dapat membibitkan prasangka
yang dapat mengurangi pahala amalan....
yang dapat menerbitkan riak, hasad dan keangkuhan diri...
asalkan tidak pekak mendengar seruan Allah
asalkan tidak tuli dari kalamullah...


Biarlah dia seorang yang bakhil
bakhil dari memberi senyuman 
pada insan yang bukan mahramnya...
bakhil membelanjakan hartanya pada jalan sia-sia
bakhil dari meluangkan masa kepada perkara shubhah
asalkan pemurah membelanjakan harta pada jalan Allah
asalkan pemurah bersedekah pada anak-anak yatim
dan fakir miskin yang memerlukan....
asalkan pemurah beribadah kepada Khaliqnya


Biarlah dia tidak sempurna
kerana sesungguhnya kesempurnaan itu milikNYA
Allah maha mengetahui segala sesuatu
syukurilah kurniaan Ilahi
Redha dan ikhlas pada takdirnya
Pasrah itulah milik seorang hamba....