18.12.11

GURISAN KATA

Bagaimana harus bersikap
andai tiada dapat dimengerti
tingkah dan laku
hanya meneka dalam kesamaran

Bagaimana harus akur
andai tiada dapat dibaca 
apa yang tersurat dan tersirat
dalam hati nurani...
kala kekaburan yang membayang

Benarkah harus terima sahaja
yang terlontar dari tutur bicara
yang termakna dari bahasa tubuh
walau gurisan pedih menjadi taruhan

Begitu teganya memperilaku
tanpa peduli ada jiwa yang terluka
tanpa kisahkan hati yang merana
benar hanya mementingkan perasaan
sendiri ....
sampainya hati......


AKHIRAT JUA YANG ABADI



Hidup di dunia adalah tumpangan sementara waktu saja. 
Lepas itu kita akan menginap di satu tempat yang kekal di akhirat iaitu syurga atau neraka.
Di dunia, kita ditugaskan mencari seberapa banyak bekal untuk dibawa ke akhirat. 
Dunia bukan tempat bersenang-lenang. 
Kesenangan di dunia sementara dan bersifat palsu. 
Begitu juga dengan kesusahan di dunia - sementara dan palsu.
Perlulah kita fahami bahawa kesenangan di dunia 

bukan betul-betul senang kerana kemungkinan sekali ia menjadi bala, 
sementara kesusahannya pula mungkin menjadi satu rahmat dan kenikmatan pula. 
Dunia adalah tempat kita ditipu dan menipukan.
Akhirat sahaja tempat yang kekal di mana kesenangannya 
adalah mutlak 100% dan kesusahannya juga 100%. 
Menyedari hakikat ini, perlulah kita menyediakan perbekalan 
untuk satu perjalanan yang sangat jauh. 
Kekurangan bekalan akan amat menyulitkan perjalanan kita.
Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering lupa 
akan matlamat kehidupan kita yang sebenarnya. 
Lantaran itu Allah seringkali memberi peringatan,  
supaya kita tidak lupa akan matlamat penghijrahan kita ke alam Baqa'. 
Peringatan demi peringatan dikenakan ke atas diri kita, 
tetapi kita tidak faham-faham atau tidak erti bahasa 
dan gembira malah semakin besar tawanya. 
Kalau TEN memberi notis pemotongan elektrik,kita menjadi kelam-kabut, 
tetapi bila Allah menghantar notis, kita buat acuh-tak-acuh saja.

Nabi Musa pernah memberitahu Malaikat 
supaya segera memberitahunya sebelum mencabut nyawanya. 
Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, 
Nabi Musa bertanya kenapa Malaikat itu tidak memberitaunya lebih awal. 
Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar 
peringatan demi peringatan. Di antara peringatan (notis) yang dihantar oleh Allah 
ialah semasa pertukaran rambut hitam menjadi putih, gigi menjadi rongak, 
mata bertambah kabur, pendengaran bertambah kurang, badan segar menjadi layu, 
kuat menjadi lemah, muda menjadi tua, kulit semakin kendur dan sebagainya.

Ada 3 kategori manusia dalam menghadapi kematian:

Pertama : Bila teringat akan mati, terasa lapang hatinya. 
Hatinya menjadi suka. Kelompok manusia dalam kategori ini ialah 
mereka yang benar-benar berilmu dan telah penuh keimanannya 
terhadap Allah dan hari akhirat. Mereka telah mencapai makrifat terhadap Allah.
 Ini ialah maqam tertinggi yang dimiliki oleh para wali.

Kedua: Apabila teringat mati, hatinya menjadi takut, kecut dan gementar. 
Mereka ialah orang-orang kafir yang tidak sanggup berjumpa dengan Allah. 
Mereka seumpama binatang-binatang liar kepunyaan seseorang. 
Apabila tuannya hendak mengambilnya, dia cuba melarikan diri 
tetapi dapat ditangkap secara paksaan. Kematian mereka amat menghinakan.

Ketiga: Golongan ini merasa dukacita dan takut terhadap kematian. 
Tetapi apabila telah mengalami mati, dia berasa sukacita. 
Malahan jika diberi pilihan, mereka tidak akan mahu kembali ke dunia semula. 
Mereka telah dapat mengecapi dan menikmati alam yang lebih kekal 
dan lebih baik daripada alam fana yang penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan. Golongan ini ibarat seorang bayi yang baru lahir dari perut ibunya. 
Semasa akan keluar, bayi akan menangis kerana menyangka hidup di dalam perut ibunya lebih baik dan nyaman daripada alam dunia. Tetapi apabila telah lahir di dunia ini, dia tidak akan mahu kembali ke dalam perut ibunya meskipun diberi pilihan. Manusia yang termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang beriman yang belum mencapai taraf tinggi atau orang mukmin biasa.

Marilah kita berlumba-lumba mencari bekalan untuk akhirat. Janganlah kita asyik berlumba-lumba mencari bekalan dunia sehingga terlupa pertemuan kita dengan Allah. Kematian hanya penghijrahan atau perpindahan alam; berpindah dari negeri binasa ke negeri yang kekal abadi. Allah telah menghantar banyak notis kepada kita dan jadikanlah ia sebagai cemeti untuk menyedarkan diri tentang kematian yang sudah tentu akan menemui kita.
Wallahu 'Alam.

14.12.11

SEMBILAN SEBAB HATI TIDAK BAHAGIA


Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah : 

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.
3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan
4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama......- derma) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui manusia.
5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut...walau berapa banyak yg diminum tetap tak habis juga....lagipun orang tamak selalu rugi.. 
** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.
6. Tidak sabar - andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan..)

7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun-lakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. -Allah marah kalau kita riak..takabbur dgn apa yg kita ada..
9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, .....dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah, tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah... Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.
Kesimpulan 
Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dllnya. tetapi ialah MAZMUMMAH. 
Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak BAHAGIA. Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. Sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain...andai kita terleka dengan dunia buruklahh padahnya. 
Wallahualam"


13.12.11

TUJUH PULUH DOSA BESAR


Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."

Kami berpesan pada diri kami dan pada tuan-tuan jangan sekali-sekali melakukan dosa-dosa dibawah ini. Jika terlanjur cepat-cepat bertaubat sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Semuga taubat kita diterima oleh Allah. Amin...

Mengikut imam Azzahabiyy dalam kitabnya "Al-Kabaair" beliau menghimpunkan jenis dosa-dosa besar sebanyak 70 perkara.

01 - Belajar ilmu dan sembunyi pengetahuan
02 - Bersaksi palsu
03 - Berjudi
04 - Bersumpah palsu dan bohong
05 - Berbohong
06 - Bergambar di baju (bila sembahyang)
07 - Perempuan pelacur
08 - Berbuat buruk terhadap yang lemah
09 - Berdebat dan memusuhi
10 - Bersifat dayus
11 - Bercakap kasar dengan orang tua
12 - Dusta nama Allah dan rasulnya
13 - Derhaka pada suami
14 - Derhaka pada hamba Allah, anggap baik dirinya
15 - Hakim derhaka
16 - Homosek (seagama/sejenis)
17 - Mengurangi timbangan
18 - Lari seorang hamba dari tuannya
19 - Lelaki menyerupai wanita
20 - Lari dari medan perang di jalan Allah
21 - Membunuh manusia
22 - Membunuh diri sendiri
23 - Mengamalkan sihir
24 - Meninggalkan sembahyang lima waktu
25 - Meninggalkan sembahyang jumaat
26 - Menderhaka kepada kedua ibu bapa
27 - Memutuskan hubungan silaturrahim
28 - Melakukan zina
29 - Makan harta anak yatim secara tidak betul
30 - Makan dari kekayaan haram
31 - Memberi dan menerima rasuah
32 - Melabuhkan pakaian kerana berlagak sombong
33 - Makan riba
34 - Minum arak
35 - Mencuri
36 - Merompak
37 - Melalukan kezaliman
38 - Melakukan pengkhianatan
39 - Menyebut-nyebut pemberian
40 - Mengingkari janji
41 - Memfitnah
42 - Mengutuk orang islam
43 - Merasa aman dari kemurkaan Allah
44 - Menipu harta rampasan
45 - Melampaui batas
46 - Menuduh zina terhadap orang baik
47 - Memakai emas dan sutera (bagi lelaki)
48 - Mempercayai nujum dan sihir
49 - Menjadi bapa sanggup
50 - Mencari kesalahan orang lain
51 - Menganggu orang lain
52 - Menganggu tetangga
53 - Menyakiti dan memaki orang islam
54 - Mengintip dan membuka rahsia orang
55 - Mencaci sahabat Nabi
56 - Mengurangi wasiat
57 - Mengingkari takdir
58 - Putus asa dari rahmat Allah
59 - Penipuan dan kezaliman terhadap rakyat
60 - Riak dan mempamerkan diri
61 - Syirikkan Allah dengan sesuatu yang lain
62 - Sombong serta angkuh
63 - Sembelih untuk selain Allah
64 - Tidak mengeluarkan zakat
65 - Tidak berpuasa di bulan ramadhan
66 - Tidak mengerjakan haji jikalau mampu
67 - Tidak istinjak selepas kencing
68 - Tidak mendengar cakap ibu bapa
69 - Tipu daya
70 - Wanita menyerupai lelaki


12.12.11

HIKMAH BERDIAM DIRI



Manusia berbicara setiap masa. 
Bicara yang baik akan membawa keselamatan 
dan kebaikan kepada manusia. 
Jika bicara tidak mengikut adabnya, 
manusia akan merana di dunia dan di akhirat. 
Di dunia akan dibenci oleh manusia lain 
manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain 
akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.
Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu 
tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. 
Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.
Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.
HIKMAH DIAM
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.
Hadis2 Rasullulah mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

* “Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya.
    Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya.
   Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama 
   baginya”. 
    ( RW ABU NAIM )

* “Barangsiapa yg beriman kpd Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia
     berkata yg baik atau diam”. 
    ( RW BUKHARI & MUSLIM )

* “Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya”.
   ( RW AT-TARMIZI )
Madah Dari Hukama:
* BANYAK DIAM TIDAK SEMESTINYA BODOH,
  BANYAK CAKAP TIDAK SEMESTINYA CERDIK,
  KERANA KECERDIKAN ITU BUAH FIKIRAN, 
 ORANG CERDIK YG PENDIAM LEBIH 
 BAIK DARI ORANG BODOH YG BANYAK CAKAP.

* MENASIHATI ORANG YANG BERSALAH , TIDAK SALAH. 
 YANG SALAH MEMIKIRKAN KESALAHAN ORANG..

* KALAU ORANG MENGHINA KITA, BUKAN KITA TERHINA, 
 YANG SEBENARNYA ORANG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI.
Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. 
Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap, 
kearah perkara2 yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati 
yang baik dan bersih ,yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.




11.12.11

CARILAH JALAN KEMBALI


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al-Maidah: Ayat 35)

Jasad kita berasal daripada tanah. Ia harus kembali kepada asal kejadiannya untuk mencapai kepuasan. Disebabkan itulah kita makan apa yang tumbuh daripada tanah, juga binatang-binatang yang memakan hasil tanah. Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan semuanya tumbuh daripada tanah. Apabila jasad memperoleh sumber makanan daripada permukaan bumi, maka ia akan kenyang, tenang dan bertenaga. Ruh kita datang daripada Allah, ditiupkan ke dalam jasad. Maka ruh takkan mencapai ketenangan selagi ia belum kembali kepada Tuhan. Untuk mencapai kepuasan ruh/jiwa/hati, tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada penciptanya. Maka carilah jalan kembali.

Bukan kembali dengan kematian jasad, tetapi kembali dengan menghidupkan hati. Ya, jiwa yang kering kontang menggambarkan jauhnya kita daripada Tuhan. Jiwa yang tak terisi dengan ruh Iman dan Taqwa akan diisi dengan keduniaan. Hakikatnya dunia itu takkan habis dikejar. Makin kita punya harta, makin jiwa kacau tak senang duduk. Terikat dengan material. Makin kita punya pangkat, makin tinggi yang ingin kita kejar dan capai. Makin kita punya apa sahaja yang kita inginkan, makin kita inginkan sesuatu yang lebih lagi untuk kepuasan. Hakikatnya jiwa kita menderita, tak puas dan tak mencapai ketenangan, ketenteraman.

Bukan ertinya kita harus terkurung meninggalkan dunia luar, itu adalah satu fahaman yang salah. Sebaliknya, gunakanlah apa sahaja yang ada atas dunia ini demi mencari jalan kembali kepada Allah. Biar jasadmu keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi jangan sekali-kali membiarkan hatimu melayang hilang terputus daripada pergantungan kepada Ilahi. Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam segenap kehidupan. Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.”(Az-Zumar: 54)

Allah telah menyeru dan akan sentiasa menjawab panggilan kita saat kita mencari-Nya. Cuma kita yang belum benar-benar tekad untuk kembali kepada-Nya. Atau mungkin kita sering berusaha kembali, namun dunia tetap memesongkan kita dan lebih menarik hati kita. Maka kita tak jadi kembali. Kita berputus asa dan tak mahu lagi mencuba untuk kembali, padahal Allah tak pernah jemu menunggu kita menyeru melainkan kita sendiri yang jemu untuk meminta dan meniti jalan menuju-Nya. Ingat, jangan berputus asa daripada Rahmat Allah:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar: Ayat 53)

Wahai jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas daripada pengawasan Allah? Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak mengetahui isi hatimu? Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu daripada Ilahi. Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu.

Maka wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah…Kau tak bertemu kerana kau tak mencari.

Wallahua’lam

10.12.11

PERCAYALAH....

Bila tubuhmu lesu dan hilang semangat...
ALLAH tahu betapa kamu telah mencuba sedaya upaya


Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan...
ALLAH telah mengira setiap titis air matamu...


Bila dirimu terlanjur melakukan dosa...
ALLAH sentiasa menunggu taubatmu...


Bila kau telah mencuba segalanya tetapi masih tak berhasil...
ALLAH mengumpulkan segalanya untuk suatu saat yang tak terduga...


Bila hatimu mengecapi kemanisan iman...
ALLAH telah berada hampir padamu untuk kurniakan kejayaan hakiki...
Hidup ini indah jika kerana ALLAH.
Insyaallah...




9.12.11

JANJI SERIBU MIMPI


Janji adalah sumpah kata 
yang dilafaz menjadi tanda
janji tiada erti andai dibibir manis
dihati siratan berlain nada

Menghimpun janji bagai 
memintal mimpi anganan belaka
kata laksana pujukan mesra
sedang jiwa dirasa percuma

Janji seribu mimpi
tanpa jasad tiada rupa
alam maya indah buana
leka membuai penuh pesona...

Janji hanya lafaz jemari sahaja
buat memujuk hati nan lara
indah nian suratan kata
dimamah masa luputlah ia....


HATI INI


Hati ini mengapa masih ragu
pada perasaan yang melanda
hati ini kenapa masih bertanya
soalan yang tak punya jawapan

Hati ini mengapa masih beku
pada seruan yang menyapa
hati ini kenapa belum ikhlas
ketentuan yang pasti....

Begitu jauhkah hati
seumpama luas langit terbentang
sedalam lautan tak terjangkau
segelap malam nan sepi

Biaskanlah hati
singkaplah tabir duniawi
hamparkan redha Ilahi
carilah sempurna nurani...


7.12.11

SEHAMPAR KASIH SEGULUNG RINDU


Kala fikiran tertanya-tanya
adakah aku insan pencinta
pada bumi dan alam semesta
pada detik itu juga
sang khayalan menjelma
disebalik sebuah pemikiran
yang dusta semata....

Kala jemari menari lesu
fikiran turut terkesima
pada sang bintang di batasan madu 
dan ketika itu
hadirlah segelung rindu
yang bias mengukir
sehampar madah syahdu....



MUTIARA HATI


01. Bersyukur apabila mendapat nikmat;
02. Sabar apabila mendapat kesulitan;
03. Tawakal apabila mempunyai rencana;
04. Ikhlas dalam segala amal perbuatan;
05. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;
06. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;
07. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;
08. Jangan iri dengan kekayaan orang;
09. Jangan hasad dan iri atas kelebihan orang;
10. Jangan sombong kalau memperolehi kejayaan;
11. Jangan tamak kepada harta;
12. Jangan terlalu obses akan sesuatu kedudukan;
13. Jangan hancur karena kezaliman;
14. Jangan goyah karena fitnah;
15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri.
16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram;
17. Jangan sakiti ayah dan ibu;
18. Jangan usir orang yang meminta-minta;
19. Jangan sakiti anak yatim;
20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;
21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;
22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);
23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu;
24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;
25. Biasakan solat malam;
26. Perbanyak dzikir dan do’a kepada Allah;
27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;
28. Sayangi dan santuni fakir miskin;
29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;
30. Jangan marah berlebih-lebihan;
31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;
32. Bersatulah karena Allah dan berpisahlah karena Allah;
33. Berlatihlah konsentrasi fikiran;
34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila karena sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;
35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;
36. Jangan percaya ramalan manusia;
37. Jangan terlampau takut miskin;
38. Hormatilah setiap orang;
39. Jangan terlampau takut kepada manusia;
40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala;
41. Berlakulah adil dalam segala urusan;
42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;
44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;
45. Perbanyak silaturrahim;
46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;
47. Bicaralah secukupnya;
48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;
49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;
50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;
51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin;
52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;
53. Makanlah secukupnya tidak kekurangan dan tidak berlebihan;
54. Hormatilah kepada guru dan ulama;
55. Sering-sering bershalawat kepada nabi;
56. Cintai keluarga Nabi saw;
57. Jangan terlalu banyak hutang;
58. Jangan terlampau mudah berjanji;
59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara;
60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat;
61. Bergaul lah dengan orang-orang soleh;
62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;
63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila mampu;
64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;
65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi;
66. Jangan membenci seseorang karena pahaman dan pendiriannya;
67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;
68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan.
70. Jangan melukai hati orang lain;
71. Jangan membiasakan berkata dusta;
72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian;
73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;
74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;
75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
76. Jangan membuka aib orang lain;
77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berprestasi dari kita;
78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;
79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;
80. Jangan sedih karena miskin dan jangan sombong karena kaya;
81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara;
82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;
83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;
84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;
85. Hargai prestasi dan pemberian orang;
86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan;
87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.
88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan keadaan diri kita;
89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal atau mental kita menjadi terganggu;
90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;
91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita;
92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat  menyebabkan orang lain terhina;
93. Jangan cepat percaya kepada berita buruk berkenaan saudara kita sebelum dipastikan kebenarannya;
94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;
95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan;
96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;
97. Waspadalah akan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;
98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan;
99. Jangan sukses di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang

“Sebarkanlah walau satu ayat pun” (Sabda Rasulullah SAW)
“Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.
Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Surah Al-Ahzab:71)




6.12.11

Benarkah sayang?


Benarkah sayang itu tulus
dari jiwa insan yang bergelar kekasih
andai menegur kearah kebaikan pun...
ditakuti , boleh mendatangkan marah


Benarkah sayang itu jujur
andai ditegur oleh insan yang berkongsi hidup
tidak dapat diterima dengan lapang dada
walau sebenarnya untuk kebaikan mu
di SANA nanti?


Masih samar bukan?
sebenarnya selagi bernama insan
hidup dimukabumi ini
masing-masing masih penting diri
pentingkan perasaan sendiri
kemahuan diri
bangga diri tidak terkecuali
masih lupa takdir azali....


Lupa bahawa ada tanggungan menanti
menegur yang salah
memperbetulkan yang tidak benar...
meski harus menyakiti hati yang tersayang...
meski mengguris jiwa yang hampir
semuanya akan dipersoalkan
andai berkaitan yang wajib pada syarak
tanggunglah kau nanti di mahsyar
andai kau tidak benar sayang
di dunia hingga akhirat....



2.12.11

SEBARKAN BAHAGIA


Bahagia itu bukan destinasi
yang belum pasti
bahagia ada setiap hari
dinikmati oleh hati


Bahagia anugerah Ilahi
berhak dimiliki
buat siapa yang mencari
dengan petunjuk hakiki


Bahagia perlu diciptakan
bukan sekedar diangankan
dalam setiap keadaan
dalam setiap kesempatan


Usah terus sengsara
bahagiamu didepan mata
ciptakanlah bahagia
dan sebarkanlah bahagia...


~Fatimah Sarha



1.12.11

Antara taat dan terpaksa


Antara taat dan terpaksa
masih adakah bezanya
masihkah wujud ikhlas disitu...
masih bersisakah keyakinan
tatkala dahan berpaut bukan lagi
tempat bergantung.......


Tidak dapatkah kau mengerti
betapa sayu hati
tatkala aku yang harus mencari
pergantungan yang tidak dapat kau beri
masih adakah simpati
buat aku seorang isteri....
menagih pengertian
yang engkau bagai tidak sedari


Bukankah amanah buatmu
bukankah tanggunganmu
yang sengaja kau nafikan
atas segala alasan
yang tiada jalan penjelasan...
sekian banyak pengorbanan
lenyap bersama keegoaan...
janji hanya lafaz berderai
tiada pasti bilakan tertunai
hamparan kaca pecah berderai...



30.11.11

Inilah dunia


Inilah yang sebenarnya...
dunia yang sementara
bagaimana erat pun silahturahim
bagaimana sama darah yang mendaging
apabila berkaitan wang ringgit dan harta
akan menjadi orang asing jua...
betapapun kau besarkan dia
dengan titik peluhmu
dengan kasih sayang saudara serahim
akan menjadi orang lain
bila berkaitan keegoannya...


siapalah menyangka
di hulur ehsan ketika awal hidupnya
di tabur mudah peribadinya
tiada setitik hormat
tiada aroma kenangan
buat pertimbangan
tatkala prasangka melanda jiwa


Inilah dunia sebenarnya
biar berpatah arang berkerat rotan
biar berputus ukhwah saudara sedarah
namun kepercayaan diri
melebihi akal dan budi...


Inilah dunia sebenarnya
yang dikejar saban hari
dari muda hingga usia senja
alpa jua tujuan sebenarnya....



29.11.11

SABAR ITU DURI DAN KESAKITAN



sungguh benar kesabaran itu bukan mudah mahupun indah....
sabar itu sebenarnya duri dan kesakitan
tatkala cabaran melanda
hanya dengan kepasrahan yg tulus dan mengingatiNYA
barulah redha dihati dirasai
segalanya ikhlas andai dimengerti
Yang Maha Mengasihi
akan menguji sejauh mana ikhlas dalam diri
apakah yang dicari itu redha manusia atau redha Ilahi ?
akhirnya kusadari
betapa lemahnya keimanan dihati
masih jauh lagi perjalanan mencari diri...




27.11.11

Mehnah dunia



Menitis air dari langit itu, hujan namanya
menitis air dari mata itu dukalara namanya
sesungguhnya Allah akan menguji 
setiap hamba yang dikasihinya
adakah benar redha dan ikhlas 
menerima takdirnya....


Sakitnya diri fitnah menimpa
luluh rasa jiwa tiada
beginikah makna mehnah dunia
disayat sembilu inikah rasa....


Apakah bukti saksi tiada
manakah adil hukum dunia
hanya Allah yang Maha Esa
padaNya jua berserah segala


Wahai hati ikhlaslah hendaknya
wahai jiwa tenteramlah semula
ingat Allah tujuan utama
dunia fana hanya sementara....



23.11.11

Ukuran dan nilai ketabahan


Siapalah diri sebagai seorang hamba
Menilai rasa dan perasaan
Mengharungi cabaran
Menempuhi dugaan
Insan bagaimana mampu bertahan?


Siapalah empunya hati dan perasaan
Tiada duka dan lara
Tiada gelisah dan prasangka
Tabah dan tegar laksana


Tiadalah jiwa itu pasrah dan redha
Hanya padaNYA jua meminta
Bukanlah hambanya namanya
Tanpa pohon dan pinta


Tiadalah dapat nilaian
Andai bukan keikhlasan
Bukan jua jadi ukuran
Andai bukan keimanan....





19.11.11

Heningnya perasaan


Sesungguhnya kita tahu bahawa tiada yang dapat mengubah hati dan perasaan insan,
melainkan hanya Allah jua.
Sungguh seorang insan hanya mampu berusaha dan berdoa untuk mencapai hajatnya.
Andai Allah menunaikan hajat, syukur alhamdulillah...
Andai hajat tidak tercapai ,mungkin ada hikmah disebaliknya...
mungkin Allah mempunyai kurnia yang lebih baik untuk kita,
mungkin hajat kita itu bukanlah yang terbaik untuk kita,
mungkin jua kita akan berubah melupakan Allah setelah tercapai hajat....
Dari itu pasrah dan redha akan ketentuannya...
Sesungguhnya hanya allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.....





16.11.11

Rasa perasaan



Siapakah yang boleh membaca perasaan insan lain...
Siapakah yang dapat mengerti rasa itu sendiri
Rasa yang tanpa perasaan
Perasaan yang tanpa rasa


Rasa itu sendiri boleh mengelirukan mata
Perasaan dapat dengan mudah menipu diri
Jauh dipandangan mata
Rasa sangat bahagia
Dekat didalam hati
Perasaan mendera


Tiada jua jawapan pada kenyataan
Masih jua menjadi keluhan
Gelisah dirasa mnjeruk hati
Meredam perasaan tiada kemampuan....



14.11.11

KETULUSAN HATI



Jika ketakutan itu ada
dialah makhluk yang membuatku lemah
Jika keberanian itu ada
dialah makhluk yang membuatku kuat
Jika Cinta itu ada
dialah makhluk yang membuatku terlena

Batinku telah lemah oleh ketakutan kehilangan Dirimu
Jiwaku telah kuat oleh semua keberanian untuk menunjukkan pengabdianku
Aku terlena akan semua Cinta yang engkau berikan dalam cawan
yang berisi anggur kehidupan

Tiadalah penting bagiku untuk berfikir tentang aku sendiri
Tiadalah cukup namaku untuk bersanding disampingMu
Tiadalah sandaran hati yang lebih tulus dari CintaMu

Rela aku menjalani semua yang fana ini dengan semua keikhlasan
Jikalau aku telah menjadi abu
Namun ruhku dapat tenang bersanding denganMu

Biarlah aku menjadi yang lemah
Namun kuat dan tegar dalam mabuk cinta kepadaMu
Biarlah aku menjadi bisu
Namun Batinku meneriakkan bahwa diriMulah sumber kehidupanku
Biarlah aku buta
Namun jiwaku tetap melihat indahnya kekekalanmu
Biarlah aku mati
Namun hatiku selalu hidup untuk bersanding kepadaMu