10.10.11

IKHLASKANLAH.....REDHAKANLAH



Wahai Jiwa...
Ikhlaskanlah tiap lafazmu
Jauhkanlah pura-pura, 
Apa yang ujud dimuka
Seia yang ujud didada
.
Wahai Batin...
Redhakanlah tiap tingkahmu
Yang disebelah itu kesayanganmu
Yang dikeliling itu saudaramu

Wahai hati
Iklaslah menerima tiap pemberian
Pemberian yang zahir, dinilai redha manusia...
Pemberian yang batin. dinilai redha ILAHI

Wahai nurani
redhalah dengan takdirmu
Yang baik itu ketentuan Tuhan
Yang buruk jua tidak terkecuali
DIA Maha Mengetahui
Segala yang terbaik untukmu...

Wahai Yang Maha Berkuasa 
Wahai Yang Maha Pengasih
Wahai Yang Maha Penyayang
Kurniakanlah keikhlasan hati menempuh hidup
Titipkanlah keredhaan jiwa menerima takdirmu..
Kurniakan aku bahagia
Jadikan aku hambaMU yang selalu bertaqwa...







9.10.11

MALAM SEPIKU...



Mengapa lena tiada menyapaku 
sedang malam bertandang sudah...
dan embun menyiram tanah
haruman bunga segar mengharum
dan pungguk sudah berlagu
mengapa bukan aku itu...

marilah malam...
temanilah sepiku,
saujana alamku terbentang
mengapa....?
tiada yang sudi bertamu, 
halaman ku kosong terbiar,
dan haruskah aku bermusafir diri
mencari dalam remang malam......



3.10.11

Biarlah.....


Biarlah dia seorang yang buta
kerana matanya sunyi dari melihat
perkara-perkara maksiat dan laghah...
kerana kedua matanya terpelihara
dari memandang kekejaman sesama insani
asalkan kedua matanya terang
dalam mensyukuri keagungan ciptaan Allah
asalkan dia celik menginsafi kehidupan ini
yang bersifat sementara......


Biarlah dia seorang yang bisu
bisu dari pujuk rayu yang menggoncang keimanan
bisu dari ungkapan yang meracun fikiran...
bisu dari perkataan sia-sia
yang dapat mengundang kekufuran...
asalkan bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah
asalkan lidahnya tidak lekang dari kalimah Allah
asalkan dia petah membangkang kemungkaran
dan lantang menyuarakan kebenaran...


Biarlah dia seorang yang tuli
dari mendengar kata-kata nista
dari mendengar segala umpat fitnah dunia
yang dapat membibitkan prasangka
yang dapat mengurangi pahala amalan....
yang dapat menerbitkan riak, hasad dan keangkuhan diri...
asalkan tidak pekak mendengar seruan Allah
asalkan tidak tuli dari kalamullah...


Biarlah dia seorang yang bakhil
bakhil dari memberi senyuman 
pada insan yang bukan mahramnya...
bakhil membelanjakan hartanya pada jalan sia-sia
bakhil dari meluangkan masa kepada perkara shubhah
asalkan pemurah membelanjakan harta pada jalan Allah
asalkan pemurah bersedekah pada anak-anak yatim
dan fakir miskin yang memerlukan....
asalkan pemurah beribadah kepada Khaliqnya


Biarlah dia tidak sempurna
kerana sesungguhnya kesempurnaan itu milikNYA
Allah maha mengetahui segala sesuatu
syukurilah kurniaan Ilahi
Redha dan ikhlas pada takdirnya
Pasrah itulah milik seorang hamba....







2.10.11

CINTA LUAR BIASA



Cinta luar biasa...
Cinta seorang Kekasih kepada umatnya...
Hingga pada hembusan nafasnya yang terakhir...
Lidah Rasulullah menuturkan tanpa henti...
Ummati...ummati...ummati...


Cinta luar biasa
Kisah cinta Handzalah...
Meninggalkan isteri di malam pernikahan...
Lantaran menyahut seruan jihad...
Akhirnya syahid dimedan perjuangan...


Cinta luar biasa
Seteguh kasih Khadijah...
Tak pernah jemu memberi sokongan...
Rela mengorbankan segala kemewahan...
Di saat Rasulullah dan Islam dipinggirkan...


Cinta luar biasa
Kisah kesetiaan Abu bakar...
Kasih seorang  sahabat yang tiada tandingan...
Insan yang sentiasa memebenarkan...
Sewaktu kata-kata Rasulullah dipersendakan...


Cinta luar biasa
Kisah ketabahan Hajar...
Ditinggalkan di tanah yang gersang bersama Ismail...
Bukti kasih seorang ibu yang berlarian mencari air...
Tatkala mendengar tangisan si anak kecil...


Cinta luar biasa
Umpama keberanian Ali
Di malam penghijrahan Nabi...
Menggantikan Rasulullah di tempat tidurnya...
Walaupun jiwa menjadi taruhan...


Cinta luar biasa
Cinta Asiah, Masyitah dan Sumaiyyah...
Menggadaikan nyawa demi mempertahankan aqidah...
Iman di dada tak sedikit pun goyah...
Kerana keyakinan yang teguh atas segala janjiNYA...


Cinta luar biasa
Insan pilihan yang berada diatas jalanNYA...
Betapa tulusnya kasih, teguhnya jiwa...
Redha dan sabar menempuh segala ujian...
Merekalah insan yang memahami erti kemanisan iman...


Mampukah diri ini meraih cinta luar biasa......??













29.9.11

Berikan aku....


Berikan aku sehembus cinta
biar kudingin jiwa meronta


Hulurkan aku sehembus cinta
menyebar belas takkan tersisih


Tebarkan padaku sejambak simpati 
harumlah nanti membujuk hati


Kurela hadirnya semangat membara
tak gusar ku tempuh hangat sang lara


Sinaran ikhlas pada malam meminjam
merajai siang hingga aku terpejam


Mutunya pada kesucian cinta
walau dipinta tak terjangkau tinta....






Redha ketentuan Allah



Biarkanlah hari-hari berbuat semaunya
Berlapang dada-lah kala takdir menimpa

Jangan berkeluh-kesah atas musibah di malam hari
Tiada musibah yang kekal di muka bumi
Jadilah laki-laki tegar dalam menghadapi tragedi
Berlakulah pemaaf selalu menepati janji

Jika banyak aibmu di mata manusia
Sedang engkau berharap menutupinya
Bersembunyilah engkau di balik derma
Dengan derma aibmu tertutup semua

Jangan pernah terlihat lemah di depan musuhmu
Sungguh malapetaka jika musuh menertawaimu

Jangan berharap dari orang kikir kemurahan
Di neraka tiada air bagi orang yang kehausan
Rizkimu tidak berkurang karena kerja wajar perlahan
Berlelah-lelah tidak menambah rezeki seseorang

Tiada kesedihan yang kekal tidak pula kebahagiaan
Tiada kesulitan yang abadi tidak pula kemudahan

Jika engkau berhati puas dan mudah menerima
Sungguh, antara engkau dan raja dunia tiada beza

Barangsiapa kematian datang menjemputnya
Langit dan bumi tak kan mampu melindunginya

Bumi Allah begitu lapang luas membentang
Namun seakan sempit kala ajal menjelang

Biarkanlah hari-hari ingkar janji setiap saat
Kematian tak mungkin dicegah dengan ubat






28.9.11

Insaf sekejap....



Benarkah wujud istilah 'insaf sekejap'? 
Ya, ia wujud.
Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar.
Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal.


Kisah Hanzalah
 Di kisahkan sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulallah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi'.
Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, 'Hanzalah telah munafik!'.
Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu.
Lalu jawab Hanzalah, "Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!
Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, "Demi Allah, aku juga begitu". Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulullah untuk mengadu akan masalah ini.
Lalu Rasulullah bersabda, "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"

Manusia Biasa
Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun.
Dalam mendefinasikan perkataan insaf,  cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil 'kesal'.
Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat!

Taubat Yang Berulang
 Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulallah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah.
Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat.
Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali.
Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!
Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!

Mahu Kekal
Setiap orang, tempoh 'sekejap' mereka adalah berbeza-beza.
Ada orang yang 'insaf sekejap'nya ialah beberapa hari dan ada juga yang 'insaf sekejap' nya cuma beberapa minit.
Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?

Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 39 yang bermaksud :

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh.
Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan.
Ya, harus banyak berdoa!

Kesimpulan
Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya 'sekejap' ini tidak akan selamanya sekejap.
Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.