28.9.11

Insaf sekejap....



Benarkah wujud istilah 'insaf sekejap'? 
Ya, ia wujud.
Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar.
Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal.


Kisah Hanzalah
 Di kisahkan sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulallah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi'.
Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, 'Hanzalah telah munafik!'.
Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu.
Lalu jawab Hanzalah, "Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!
Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, "Demi Allah, aku juga begitu". Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulullah untuk mengadu akan masalah ini.
Lalu Rasulullah bersabda, "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"

Manusia Biasa
Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun.
Dalam mendefinasikan perkataan insaf,  cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil 'kesal'.
Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat!

Taubat Yang Berulang
 Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulallah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah.
Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat.
Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali.
Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!
Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!

Mahu Kekal
Setiap orang, tempoh 'sekejap' mereka adalah berbeza-beza.
Ada orang yang 'insaf sekejap'nya ialah beberapa hari dan ada juga yang 'insaf sekejap' nya cuma beberapa minit.
Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?

Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 39 yang bermaksud :

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh.
Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan.
Ya, harus banyak berdoa!

Kesimpulan
Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya 'sekejap' ini tidak akan selamanya sekejap.
Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.




27.9.11

ADAM...



Adam.....
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu,
sentiasa mau terpesong dari landasan,
kerana aku buruan syaitan.


Adam...
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman,
itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya
Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,
kacau-bilaulah suasana,
Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.


Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil
sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah
yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.


Adam..
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku.
Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku.
Tapi...
aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu.
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.

Namun..
terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.

Adam...
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran
ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita.
Kau diberi amanah untuk mendidik aku,
kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku
memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.

Tapi Adam,
nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini,
aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan
Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah.
Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku.
Jika terpaksa aku keluar dari rumah
seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.
Tapi.. realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam...
Mengapa kau biarkan aku begini?
Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu.
Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu.
Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara,
aku ke hutan memikul senjata.
Padahal, kau duduk saja.
Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja.
Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba,
kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara.
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?


Adam...
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong,
maka Adam yang patut tanggung!
Kenapa?
Mengapa begitu ADAM?
Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid b*d*h,
guru yang tidak pandai mengajar!
Adam kau selalu berkata,
Hawa memang degil, tak mahu dengar kata,
tak mudah makan nasihat, kepala batu,
pada hematku yang dhaif ini
Adam, seharusnya kau tanya dirimu,
apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya?
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka?
Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?


Adam...
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu,
aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua.
Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku.
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu.

Akalmu sembilan, nafsumu satu.
Aku...akalku satu nafsuku beribu!
Dari itu Adam....pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah,
perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku.
Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.


Adam...
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri,
masih segan mengikut langkah para sahabat,
masih gentar mencegah mungkar,
maka kita tunggu dan lihatlah, 

dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah.
Malulah engkau Adam, 

malulah engkau pada dirimu sendiri 
dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu....







26.9.11

Kadang-kadang kita lupa.....

Bila kita memulakan sesuatu...
Kadang-kadang kita lupa letakkan niat
Kadang-kadang kita lupa baca Bismillah
Sebab tu bila ada masalah,
Kita cepat menyerah..

Bila kita berniat...Kadang-kadang kita lupa letakkan usaha,
Kadang-kadang kita tunggu disergah baru hendak mengolah,
Sebab tu bila kerja tak menjadi,
Kita mula angkat kaki...

Bila kita berusaha...
Kadang-kadang lupa pula hendak berdoa,
Siang malam kerah tenaga dan masa...
Sebab tu bila kerja masih tak sempurna,
Kita mudah putus asa...

Bila kita berniat, berusaha dan berdoa...
Kadang-kadang kita lupa pula untuk bertawakkal pada Yang Esa.
Bertawakal pun pada bicara tapi di hati masih buta.
Sebab tu bila dilanda masalah,
Kita marah tak tentu hala...

Bila kita berniat, berusaha, berdoa dan bertawakal...
Kadang-kadang kita tetap alpa,
Nak sebut Alhamdulillah pun payah,
Berdoa pun sekali sekala,
Bersyukur sekejap cuma..
Sebab tu bila kita berjaya,
Allah datangkan ujian dan musibah...
Supaya kita ingat dan kembali ke jalan redha,
Tetapi kita kecewa sampai mencari jalan mudah..
Membenci diri memusuhi nadi.

Sedangkan...
Kita manusia ciptaan Allah,
Bernafas di udara yang sama,
Bila lemah Allah itu ada,
Bila derita Allah itu bersama,
Senang, susah, sedih, gembira...
Allah takkan lupa pada langkah kita.
Tapi sememangnya lahiriah kita,
Kadang-kadang lebih suka dipuji,
Sebab itu kita jarang memuji Yang Maha Terpuji,
Kadang-kadang lebih suka dicintai,
Sebab itu kita lupa menyintai Yang Maha Menyintai,
Kadang-kadang kita lebih suka menyendiri,
Tapi lupa Allah sedang memerhati...
Sebab itu teruskanlah bermuhasabah pada pencipta,
Kerana dalam firman Allah;

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-Ra'd:11)"


Kerana itu..
Pada masalah harus bersabar dan redha

Pada ujian harus tabah dan teguh
 Pada kejayaan harus usaha, doa dan tawakkal..

Sama tetapi tidak serupa

Kerana kejayaan di dunia bukan pengukur kejayaan di sana
Kekayaan harta di dunia bukan jaminan kebahagiaan di sana
Kesusahan dan penderitaan di dunia belum tentu bersambung di sana
Kealpaan kita di dunia pasti menjadi kesakitan kita di sana...

Di sana itulah yang perlu kita kejar,
Agar dunia mengikuti dengan redha...
Di sana,
Akhirat yang pasti...
Syurga yang terindah,
Atau

Neraka yang menyala!










25.9.11

LIHATLAH DIRI KITA....


Lihatlah diri kita

Kita bangun tidur di waktu subuh dan kemudian membasah wajah dengan air wudhu yang segar.
Sesudah melaksanakan solat dan berdoa. Cubalah menghadap cermin di dinding.
Di sana kita mulai meneliti diri :

1.Lihatlah kepala kita!
Apakah ia sudah kita tundukkan, rukukkan dan sujudkan dengan segenap kepasrahan seorang hamba fana tiada daya di hadapan Allah Yang Maha Perkasa, atau ia tetap tengadah dengan segenap keangkuhan, kecongkakan dan kesombongan seorang manusia di dalam pikirannya?

2. Lihatlah mata kita!
Apakah ia sudah kita gunakan untuk menatap keindahan dan keagungan ciptaan-ciptaan Allah Yang Maha Kuasa, atau kita gunakan untuk melihat segala pemandangan dan kemaksiatan yang dilarang?

3. Lihatlah telinga Kita!
Apakah ia sudah kita gunakan untuk mendengarkan suara adzan, bacaan Al Qur’an, seruan kebaikan, atau kita gunakan buat mendengarkan suara-suara yang sia-sia tiada bermakna?

4. Lihatlah hidung Kita!
Apakah sudah kita gunakan untuk mencium sajadah yang terhampar di tempat sholat, mencium istri, suami dan anak-anak tercinta serta mencium kepala anak-anak papa yang kehilangan cinta bunda dan ayahnya?

5. Lihatlah mulut kita!
Apakah sudah kita gunakan untuk mengatakan kebenaran dan kebaikan, nasehat-nasehat bermanfaat serta kata-kata bermakna atau kita gunakan untuk mengatakan kata-kata tak berguna dan berbisa, mengeluarkan tahafaul lisan alias penyakit lisan seperti: bergibah, memfitnah, mengadu domba, berdusta bahkan menyakiti hati sesama?

6. Lihatlah tangan Kita!
Apakah sudah kita gunakan buat bersedekah, membantu sesama yang kena musibah, mencipta karya-karya yang berguna atau kita gunakan untuk mencuri, rasuah, menzalimi orang lain serta merampas hak-hak serta harta-harta orang yang tak berdaya?

7. Lihatlah kaki Kita!
Apakah sudah kita gunakan untuk melangkah ke tempat ibadah, ke tempat menuntut ilmu bermutu, ke tempat-tempat pengajian yang kian mendekatkan perasaan kepada Allah Yang Maha Penyayang atau kita gunakan untuk melangkah ke tempat maksiat dan kejahatan?

8. Lihatlah dada Kita!
Apakah di dalamnya tersimpan perasaan yang lapang,sabar, tawakal dan keikhlasan serta perasaan selalu bersyukur kepada Allah Yang Maha Bijaksana, atau di dalamnya tertanam ladang jiwa yang tumbuh subur daun-daun takabur, biji-biji bakhil, benih iri hati dan dengki serta pepohonan berbuah riak?

9. Lihatlah diri kita!
Apakah kita sering tadabur, Tafakur dan selalu bersyukur pada karunia yang kita terima dari Allah Yang Maha Perkasa?

RENUNG-RENUNGKANLAH!















22.9.11

Ingatilah Mati Yang MATI



Bangkitku dari lena pagi ini seperti hari-hari yang berlalu.
Masih diizinkan Ar Rahiim untukku menghirup secangkir kehidupan. 
Menghirup nikmat-nikmat Allah yang tak terhitung banyaknya 

menguji iman di hati adakah bersyukur atau alpa. 
Pintu hari dikuak dan sehari lagi kita mendekati saat kematian yang telah ditentukan itu.
Peliknya, hati seakan-akan lupa hakikat itu dek kesibukan duniawi yang melalaikan kita dari mengingati suatu kematian yang pasti. 
Mati seolah-olah “mati” dalam hidup kita.

 
Saban hari orang bersengketa –

 tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam dan mendabik dada. 
Harta, kuasa, nama dan populariti 

jadi hijab yang menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut kemana sahaja manusia pergi.
Cinta dunia melenyapkan hakikat adanya sebuah kehidupan yang abadi.

 
Kita tidak tergamak,
bermusuhan sesama saudara, 
sesama sahabat dan sesama Islam 
kalau kita kita ingatkan mati. 
Kita tidak akan berdendam, marah, memfitnah dan melakukan pelbagai penganiayaan 
jika sedar kita sendiri akan menghadap Allah yang mengetahui tentang kita segala dan semuanya. 
Baik, mulia, agung dan hebat sangatkah kita?
Wahai diriku dan saudara-saudariku, 

mari kita kenangkan saat berpisah yang pasti menjengah
.
Kenangkanlah saat yang dibimbangkan oleh orang-orang yang soleh itu.
Hayati apa yang ditangisi oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA itu. 
Mereka mengikut jejak kekasih mereka Rasulullah SAW yang sentiasa mengingati mati. 
Itulah sumbu bagi pelita kehidupan mereka


Tanpa ingat mati, apalah guna hidup ini…
Hari ini, urut dadamu, pejamkan matamu… istirehat seketika dan katakan:
“Wahai diri, aku akan mati”! 
Kemudian bukalah mata, 

dan sematkan di hati bahawa segala ujian hidup ini adalah kecil dan sedikit 
berbanding apa yang akan dihadapi nanti. 
InsyaAllah, 

akan lapanglah hati… dan mulut mampu tersenyum 
dengan segala cabaran yang mendatang. 
Masakan orang yang melihat singa berhampirannya masih merungut tentang seekor semut yang menggigit kakinya?


Begitulah diriku dan saudara-saudariku,
keyakinan kepada kehidupan akhirat akan memberi kekuatan dalam menghadapi kehidupan di dunia.
Kenangkanlah saat berpisah kerana…
Saat perpisahan itu pasti tiba.
Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu.
Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga.
Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. 
Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. 
Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. 
Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!
Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? 
Nikmat sangatkah dunia ini? 
Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi.
Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. 
Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua.
Kata mereka yang arif tentang kehidupan:

“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? 
Tidak ada. 
Justeru, hiduplah berpada-pada. 
Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang.
Hatinya tetap merindui kampung halaman.
Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. 
Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. 

Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. 
Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa.
Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. 
Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran 

dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan.
Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. 
Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma.
Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur.
Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. 
Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa.

 
Jatuh, bangun kembali. 
Jatuh, bangun lagi. 
Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. 
Allah tidak akan jemu taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. 
Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah.
Jangan mengalah.
Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan.
Elakkan hasad, jauhi mengumpat.
Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang.
Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. 
Ingat selalu kata hukama:

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. 
Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, 

cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. 
Setiap kita mempunyai kelebihan. 
Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… 
Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. 
Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.


Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… 

katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya.
Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, 

kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, 
akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu. 
Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang 

kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di haadapan.
 
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran
tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. 
Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh.
Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang. 
Mesti sanggup pulang. 
Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah.
Bukankah kita bertemu untuk berpisah?
Dan berpisah untuk bertemu? 
Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!

Insyaallah....


16.9.11

Wahai kekasihku....wahai yag dipuja, wahai yang dipuji

LAW KANA BAINANA

Puisi Intro
----------
Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa,
Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan,
Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu dan kebebasan daripada neraka-Mu,
Dan juga kami tamakkan syurga, yang dimasuki bersama-sama penghulu seluruh manusia.

Kami mohon pada-Mu...
Mohon dengan sangat, wahai Tuhanku,
Dari sudut hati kami yang paling dalam...

Start
-----
Kalaulah Kekasih-Mu, masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah
dengan haruman Baginda, sebelum hilangnya,
rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan Kekasih-Mu.

Berada berhampiran Baginda, jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah, akan diperkenankan,
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna,
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda,
Wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba...

Hidayahmu kepada alam merata meluas,
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan pemberi hidayah,
Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih,
Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.

Kutebus diriku dengan dirimu, wahai Kekasihku,
Nabi Muhammad yang mulia, yang asing,
Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum,
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam....

Wahai Kekasihku, wahai Nabi Muhammad
Wahai doktor hatiku, wahai yang dipuji dipuja
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.




14.9.11

Dari jauh....

dari jauh aku memandangmu
lewat senua mata hatiku...
dari jauh aku mengagumimu
lewat semua kisah tentangmu...
dari jauh aku larut dalam suka cita mu
bagai bertemu air jernih dipadang tandus...
dari jauh ku lukis engkau dalam tidurku
lewat beragam bunga mimpiku...
dari jauh kutitip hatiku padamu
agar kau tak membenciku.....