3.10.11

Biarlah.....


Biarlah dia seorang yang buta
kerana matanya sunyi dari melihat
perkara-perkara maksiat dan laghah...
kerana kedua matanya terpelihara
dari memandang kekejaman sesama insani
asalkan kedua matanya terang
dalam mensyukuri keagungan ciptaan Allah
asalkan dia celik menginsafi kehidupan ini
yang bersifat sementara......


Biarlah dia seorang yang bisu
bisu dari pujuk rayu yang menggoncang keimanan
bisu dari ungkapan yang meracun fikiran...
bisu dari perkataan sia-sia
yang dapat mengundang kekufuran...
asalkan bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah
asalkan lidahnya tidak lekang dari kalimah Allah
asalkan dia petah membangkang kemungkaran
dan lantang menyuarakan kebenaran...


Biarlah dia seorang yang tuli
dari mendengar kata-kata nista
dari mendengar segala umpat fitnah dunia
yang dapat membibitkan prasangka
yang dapat mengurangi pahala amalan....
yang dapat menerbitkan riak, hasad dan keangkuhan diri...
asalkan tidak pekak mendengar seruan Allah
asalkan tidak tuli dari kalamullah...


Biarlah dia seorang yang bakhil
bakhil dari memberi senyuman 
pada insan yang bukan mahramnya...
bakhil membelanjakan hartanya pada jalan sia-sia
bakhil dari meluangkan masa kepada perkara shubhah
asalkan pemurah membelanjakan harta pada jalan Allah
asalkan pemurah bersedekah pada anak-anak yatim
dan fakir miskin yang memerlukan....
asalkan pemurah beribadah kepada Khaliqnya


Biarlah dia tidak sempurna
kerana sesungguhnya kesempurnaan itu milikNYA
Allah maha mengetahui segala sesuatu
syukurilah kurniaan Ilahi
Redha dan ikhlas pada takdirnya
Pasrah itulah milik seorang hamba....







2.10.11

CINTA LUAR BIASA



Cinta luar biasa...
Cinta seorang Kekasih kepada umatnya...
Hingga pada hembusan nafasnya yang terakhir...
Lidah Rasulullah menuturkan tanpa henti...
Ummati...ummati...ummati...


Cinta luar biasa
Kisah cinta Handzalah...
Meninggalkan isteri di malam pernikahan...
Lantaran menyahut seruan jihad...
Akhirnya syahid dimedan perjuangan...


Cinta luar biasa
Seteguh kasih Khadijah...
Tak pernah jemu memberi sokongan...
Rela mengorbankan segala kemewahan...
Di saat Rasulullah dan Islam dipinggirkan...


Cinta luar biasa
Kisah kesetiaan Abu bakar...
Kasih seorang  sahabat yang tiada tandingan...
Insan yang sentiasa memebenarkan...
Sewaktu kata-kata Rasulullah dipersendakan...


Cinta luar biasa
Kisah ketabahan Hajar...
Ditinggalkan di tanah yang gersang bersama Ismail...
Bukti kasih seorang ibu yang berlarian mencari air...
Tatkala mendengar tangisan si anak kecil...


Cinta luar biasa
Umpama keberanian Ali
Di malam penghijrahan Nabi...
Menggantikan Rasulullah di tempat tidurnya...
Walaupun jiwa menjadi taruhan...


Cinta luar biasa
Cinta Asiah, Masyitah dan Sumaiyyah...
Menggadaikan nyawa demi mempertahankan aqidah...
Iman di dada tak sedikit pun goyah...
Kerana keyakinan yang teguh atas segala janjiNYA...


Cinta luar biasa
Insan pilihan yang berada diatas jalanNYA...
Betapa tulusnya kasih, teguhnya jiwa...
Redha dan sabar menempuh segala ujian...
Merekalah insan yang memahami erti kemanisan iman...


Mampukah diri ini meraih cinta luar biasa......??













29.9.11

Berikan aku....


Berikan aku sehembus cinta
biar kudingin jiwa meronta


Hulurkan aku sehembus cinta
menyebar belas takkan tersisih


Tebarkan padaku sejambak simpati 
harumlah nanti membujuk hati


Kurela hadirnya semangat membara
tak gusar ku tempuh hangat sang lara


Sinaran ikhlas pada malam meminjam
merajai siang hingga aku terpejam


Mutunya pada kesucian cinta
walau dipinta tak terjangkau tinta....






Redha ketentuan Allah



Biarkanlah hari-hari berbuat semaunya
Berlapang dada-lah kala takdir menimpa

Jangan berkeluh-kesah atas musibah di malam hari
Tiada musibah yang kekal di muka bumi
Jadilah laki-laki tegar dalam menghadapi tragedi
Berlakulah pemaaf selalu menepati janji

Jika banyak aibmu di mata manusia
Sedang engkau berharap menutupinya
Bersembunyilah engkau di balik derma
Dengan derma aibmu tertutup semua

Jangan pernah terlihat lemah di depan musuhmu
Sungguh malapetaka jika musuh menertawaimu

Jangan berharap dari orang kikir kemurahan
Di neraka tiada air bagi orang yang kehausan
Rizkimu tidak berkurang karena kerja wajar perlahan
Berlelah-lelah tidak menambah rezeki seseorang

Tiada kesedihan yang kekal tidak pula kebahagiaan
Tiada kesulitan yang abadi tidak pula kemudahan

Jika engkau berhati puas dan mudah menerima
Sungguh, antara engkau dan raja dunia tiada beza

Barangsiapa kematian datang menjemputnya
Langit dan bumi tak kan mampu melindunginya

Bumi Allah begitu lapang luas membentang
Namun seakan sempit kala ajal menjelang

Biarkanlah hari-hari ingkar janji setiap saat
Kematian tak mungkin dicegah dengan ubat






28.9.11

Insaf sekejap....



Benarkah wujud istilah 'insaf sekejap'? 
Ya, ia wujud.
Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar.
Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal.


Kisah Hanzalah
 Di kisahkan sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulallah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi'.
Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, 'Hanzalah telah munafik!'.
Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu.
Lalu jawab Hanzalah, "Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!
Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, "Demi Allah, aku juga begitu". Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulullah untuk mengadu akan masalah ini.
Lalu Rasulullah bersabda, "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"

Manusia Biasa
Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun.
Dalam mendefinasikan perkataan insaf,  cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil 'kesal'.
Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat!

Taubat Yang Berulang
 Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulallah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah.
Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat.
Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali.
Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!
Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!

Mahu Kekal
Setiap orang, tempoh 'sekejap' mereka adalah berbeza-beza.
Ada orang yang 'insaf sekejap'nya ialah beberapa hari dan ada juga yang 'insaf sekejap' nya cuma beberapa minit.
Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?

Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 39 yang bermaksud :

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh.
Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan.
Ya, harus banyak berdoa!

Kesimpulan
Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya 'sekejap' ini tidak akan selamanya sekejap.
Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.




27.9.11

ADAM...



Adam.....
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu,
sentiasa mau terpesong dari landasan,
kerana aku buruan syaitan.


Adam...
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman,
itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya
Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,
kacau-bilaulah suasana,
Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.


Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil
sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah
yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.


Adam..
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku.
Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku.
Tapi...
aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu.
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.

Namun..
terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.

Adam...
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran
ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita.
Kau diberi amanah untuk mendidik aku,
kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku
memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.

Tapi Adam,
nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini,
aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan
Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah.
Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku.
Jika terpaksa aku keluar dari rumah
seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.
Tapi.. realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam...
Mengapa kau biarkan aku begini?
Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu.
Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu.
Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara,
aku ke hutan memikul senjata.
Padahal, kau duduk saja.
Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja.
Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba,
kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara.
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?


Adam...
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong,
maka Adam yang patut tanggung!
Kenapa?
Mengapa begitu ADAM?
Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid b*d*h,
guru yang tidak pandai mengajar!
Adam kau selalu berkata,
Hawa memang degil, tak mahu dengar kata,
tak mudah makan nasihat, kepala batu,
pada hematku yang dhaif ini
Adam, seharusnya kau tanya dirimu,
apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya?
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka?
Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?


Adam...
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu,
aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua.
Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku.
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu.

Akalmu sembilan, nafsumu satu.
Aku...akalku satu nafsuku beribu!
Dari itu Adam....pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah,
perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku.
Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.


Adam...
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri,
masih segan mengikut langkah para sahabat,
masih gentar mencegah mungkar,
maka kita tunggu dan lihatlah, 

dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah.
Malulah engkau Adam, 

malulah engkau pada dirimu sendiri 
dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu....







26.9.11

Kadang-kadang kita lupa.....

Bila kita memulakan sesuatu...
Kadang-kadang kita lupa letakkan niat
Kadang-kadang kita lupa baca Bismillah
Sebab tu bila ada masalah,
Kita cepat menyerah..

Bila kita berniat...Kadang-kadang kita lupa letakkan usaha,
Kadang-kadang kita tunggu disergah baru hendak mengolah,
Sebab tu bila kerja tak menjadi,
Kita mula angkat kaki...

Bila kita berusaha...
Kadang-kadang lupa pula hendak berdoa,
Siang malam kerah tenaga dan masa...
Sebab tu bila kerja masih tak sempurna,
Kita mudah putus asa...

Bila kita berniat, berusaha dan berdoa...
Kadang-kadang kita lupa pula untuk bertawakkal pada Yang Esa.
Bertawakal pun pada bicara tapi di hati masih buta.
Sebab tu bila dilanda masalah,
Kita marah tak tentu hala...

Bila kita berniat, berusaha, berdoa dan bertawakal...
Kadang-kadang kita tetap alpa,
Nak sebut Alhamdulillah pun payah,
Berdoa pun sekali sekala,
Bersyukur sekejap cuma..
Sebab tu bila kita berjaya,
Allah datangkan ujian dan musibah...
Supaya kita ingat dan kembali ke jalan redha,
Tetapi kita kecewa sampai mencari jalan mudah..
Membenci diri memusuhi nadi.

Sedangkan...
Kita manusia ciptaan Allah,
Bernafas di udara yang sama,
Bila lemah Allah itu ada,
Bila derita Allah itu bersama,
Senang, susah, sedih, gembira...
Allah takkan lupa pada langkah kita.
Tapi sememangnya lahiriah kita,
Kadang-kadang lebih suka dipuji,
Sebab itu kita jarang memuji Yang Maha Terpuji,
Kadang-kadang lebih suka dicintai,
Sebab itu kita lupa menyintai Yang Maha Menyintai,
Kadang-kadang kita lebih suka menyendiri,
Tapi lupa Allah sedang memerhati...
Sebab itu teruskanlah bermuhasabah pada pencipta,
Kerana dalam firman Allah;

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-Ra'd:11)"


Kerana itu..
Pada masalah harus bersabar dan redha

Pada ujian harus tabah dan teguh
 Pada kejayaan harus usaha, doa dan tawakkal..

Sama tetapi tidak serupa

Kerana kejayaan di dunia bukan pengukur kejayaan di sana
Kekayaan harta di dunia bukan jaminan kebahagiaan di sana
Kesusahan dan penderitaan di dunia belum tentu bersambung di sana
Kealpaan kita di dunia pasti menjadi kesakitan kita di sana...

Di sana itulah yang perlu kita kejar,
Agar dunia mengikuti dengan redha...
Di sana,
Akhirat yang pasti...
Syurga yang terindah,
Atau

Neraka yang menyala!