9.11.10

Ingatilah mati Yang "mati"

by Nurani Hani on Monday, November 8, 2010 at 10:54am
 
Bangkitku dari lena pagi ini seperti hari-hari yang berlalu.
Masih diizinkan Ar Rahiim untukku menghirup secangkir kehidupan.
Menghirup nikmat-nikmat Allah yang tak terhitung banyaknya menguji iman di hati adakah bersyukur atau alpa.
Pintu hari dikuak dan sehari lagi kita mendekati saat kematian yang telah ditentukan itu.
Peliknya, hati seakan-akan lupa hakikat itu dek kesibukan duniawi yang melalaikan kita dari mengingati suatu kematian yang pasti.
Mati seolah-olah “mati” dalam hidup kita.
Saban hari orang bersengketa – tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam dan mendabik dada.
Harta, kuasa, nama dan populariti jadi hijab yang menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut kemana sahaja manusia pergi.
Cinta dunia melenyapkan hakikat adanya sebuah kehidupan yang abadi.
Kita tidak tergamak,
bermusuhan sesama saudara,
sesama sahabat dan sesama Islam
kalau kita kita ingatkan mati.
Kita tidak akan berdendam, marah, memfitnah dan melakukan pelbagai penganiayaan
jika sedar kita sendiri akan menghadap Allah yang mengetahui tentang kita segala dan semuanya.
Baik, mulia, agung dan hebat sangatkah kita?
Wahai diriku dan saudara-saudariku, mari kita kenangkan saat berpisah yang pasti menjengah.
Kenangkanlah saat yang dibimbangkan oleh orang-orang yang soleh itu.
Hayati apa yang ditangisi oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA itu.
Mereka mengikut jejak kekasih mereka Rasulullah SAW yang sentiasa mengingati mati.
Itulah sumbu bagi pelita kehidupan mereka.
Tanpa ingat mati, apalah guna hidup ini…
Hari ini, urut dadamu, pejamkan matamu… istirehat seketika dan katakan:
“Wahai diri, aku akan mati”!
Kemudian bukalah mata, dan sematkan di hati bahawa segala ujian hidup ini adalah kecil dan sedikit berbanding apa yang akan dihadapi nanti.
InsyaAllah, akan lapanglah hati… dan mulut mampu tersenyum dengan segala cabaran yang mendatang.
Masakan orang yang melihat singa berhampirannya masih merungut tentang seekor semut yang menggigit kakinya?


Begitulah diriku dan saudara-saudariku,
keyakinan kepada kehidupan akhirat akan memberi kekuatan dalam menghadapi kehidupan di dunia.
Kenangkanlah saat berpisah kerana…
Saat perpisahan itu pasti tiba.
Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu.
Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga.
Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati.
Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang.
Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan.
Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!
Mengapa terlalu enggan untuk berpisah?
Nikmat sangatkah dunia ini?
Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi.
Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara.
Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua.
Kata mereka yang arif tentang kehidupan:

“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki?
Tidak ada.
Justeru, hiduplah berpada-pada.
Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang.
Hatinya tetap merindui kampung halaman.
Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan.
Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara.
Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa.
Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.
Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan.
Selepas ketawa, pasti menyusul air mata.
Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma.
Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur.
Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat.
Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa.
Jatuh, bangun kembali.
Jatuh, bangun lagi.
Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri.
Allah tidak akan jemu taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya.
Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah.
Jangan mengalah.
Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan.
Elakkan hasad, jauhi mengumpat.
Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang.
Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang.
Ingat selalu kata hukama:

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam.
Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat.
Setiap kita mempunyai kelebihan.
Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh…
Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.
Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.
Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya.
Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.
Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di haadapan.
 
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran
tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki.
Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh.
Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang.
Mesti sanggup pulang.
Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah.
Bukankah kita bertemu untuk berpisah?
Dan berpisah untuk bertemu?
Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!
Amin.


UMPAT DAN FITNAH

by Nurani Hani on Tuesday, November 9, 2010 at 7:45am

Allah SWT mencela orang yang mengumpat bagaikan memakan bangkai:
Janganlah setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)?(Quran surah al-Hujurat, ayat 12)

RasulAllah SAW bersabda;
Setiap muslim haram darah, harta dan harga dirinya atas muslim yang lain.

Baginda SAW juga bersabda;
Takutlah mengumpat. Ia lebih buruk daripada zina. Lelaki berzina lalu bertaubat, maka Allah menerima taubatnya. Sedangkan Allah SWT tidak mengampuni orang yang mengumpat sebelum orang yang diumpatnya memaafkannya.

Mereka berkata, "Orang yang mengumpat manusia ibarat melepaskan peluru kekanan dan kekiri. Seperti itu dia melemparkan akan kebaikannya (hilanglah segala kebaikannya).

Telah bersabda RasulAllah SAW yang maksudnya;
Sesiapa yang mengumpat, bermaksud menghinakan saudaranya, Allah SWT meletakkannya dijambatan neraka pada hari kiamat. Hingga bebas dari apa yang dikatakannya.

Juga Baginda SAW bersabda yang maksudnya;
Mengumpat itu menuturkan keburukan kepada saudaramu samada badan, nasab, perbuatan, ucapan, agama, dunia, bahkan baju, selendang atau tunggangannya.

Hingga sesetengah orang yang terdahulu berkata,
"Jika kau katakan pakaian; Pakaian sifulan kebesaran atau kekecilan (pakaiannya kecil atau besar), itupun termasuk mengumpat. Apa lagi jika kau sebut sesuatu yang menyakitkannya".

Dirawikan bahawa seorang perempuan yang pendek telah datang kepada RasulAllah SAW untuk sesuatu keperluan. Setelah dia beredar, Aisyah r.ha berkata, "Wah, pendeknya dia!" Segera RasulAllah SAW berkata, "Engkau telah mengumpat wahai Aisyah!"
Telah bersabda RasulAllah SAW;
Jangan kalian mengumpat. Didalamnya terdapat tiga keburukan;
Doanya tidak dimakbulkan,
kebaikannya tidak diterima,
dan akan ditimpakan kepadanya keburukan orang yang diumpat.

Baginda RasulAllah SAW bersabda dalam mencela tukang fitnah;
Manusia terburuk dihari kiamat ialah bermuka dua. Iaitu tukang fitnah. Dia datang pada mereka dengan suatu muka, dan datang pada yang lain dengan muka yang lain pula. Sesiapa yang bermuka dua didunia, (maka) dihari kiamat (dia akan) berlidah dua dari api.

Diceritakan dari Amr bin Dinar, dia berkata,
"Seorang lelaki Madinah ada saudara perempuan disuatu kampung sedang sakit. Lelaki itu menziarahi dan menunggunya sampai meninggal dunia. Dia mengucapkan takziah dan menghantarnya sampai kekubur. Setelah selesai, dia kembali kepada keluarganya. Kemudian dia teringat akan dompetnya tertinggal dalam kubur. Dia meminta tolong dari temannya. Temannya itu bersegera berangkat menggali kubur dan menemukan dompetnya. Lelaki itu tadi berkata, "Bagaimana keadaan saudaraku?" Lalu temannya itu membuka sebahagian lubang. Tiba-tiba api menyala-nyala. Segera lelaki itu kembali kepada ibunya dan bertanya, "Ceritakan padaku apa cela saudaraku?" Ibunya berkata, "Saudaramu suka pergi kerumah jiran menceritakan keburukan orang untuk menyebarkan fitnah". Jelaslah bahawa hal itulah yang menyebabkan akan seksa kubur. Siapa ingin selamat, hendaklah tinggalkan mengumpat dan memfitnah".

Abu Hafsh al-Kabir berkata, "Aku tidak berpuasa Ramadhan lebih kusukai daripada daku mengumpat orang", lalu dia berkata, "Sesiapa yang mengumpat seorang faqih, dihari kiamat dia datang dan tertulis dimukanya - Orang ini terputus daripada rahmat Allah".

Telah berkata Ka'ab ra., "Kubaca sebahagian kitab - Barangsiapa yang mati bertaubat dari mengumpat, (maka) dia orang terakhir yang akan masuk syurga. Barangsiapa yang mati (dalam keadaan) membiasakan mengumpat, (maka) dia orang yang pertama masuk neraka".
Allah SWT berfirman;Celakalah untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela.(Quran Surah Al-Humazah, ayat 1)

Wajiblah bagi orang yang mengumpat menyesal dan bertaubat agar keluar dari hak Allah. Kemudian meminta halal atas kezalimannya terhadap orang yang diumpat.
Telah bersabda RasulAllah SAW;
Sesiapa yang mengumpat saudara muslimnya, Allah SWT akan memindahkan muka keduburnya pada hari kiamat.

Rujukan:Terjemahan Kitab Mukashafah Al-Qulub, karangan Imam Al-Ghazali.

SUBHANALLAH.
Ya Allah lindungilah kami....

5.11.10

ANDAI AL-QURAN BISA BICARA

by Nurani Hani on Friday, November 5, 2010 at 3:42pm


Waktu engkau masih kanak-kanak,
kau laksana kawan sejatiku.
Dengan wudu’ aku kau sentuh dalam keadaan suci.
Aku kau pegang, kau junjung dan kau pelajari.
Aku engkau baca dengan suara lirih ataupun keras setiap hari
Setelah usai engkaupun selalu menciumku mesraaaaa sekali !!.

Sekarang engkau telah dewasa… !
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku…
Apakah aku bacaan usang yang tinggal sejarah…
Menurutmu barangkali aku bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu.
Atau menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji saja? ?

Sekarang aku engkau simpan rapi sekali hingga kadang engkau lupa dimana menyimpannya.
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai perhiasan rumahmu
Kadang kala aku dijadikan mas kawin agar engkau dianggap bertaqwa.
Atau aku kau buat penangkal untuk menakuti hantu dan syaitan.
Kini … aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian dalam kesepian.
Di atas lemari, di dalam laci, aku engkau pendamkan.

Dulu…pagi-pagi…surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.
Sore harinya aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau…..
Sekarang…
pagi-pagi sambil minum kopi…engkau baca akhbar pagi atau nonton berita TV.
Waktu senggang..
engkau sempatkan membaca buku karangan manusia.
Sedangkan aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Yang Maha Perkasa.
Engkau campakkan, engkau abaikan dan engkau lupakan… !!!
Waktu pergi kerjapun kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku (Basmalah)
Diperjalanan engkau lebih asyik menikmati muzik duniawi
Tidak ada cd yang berisi ayat Allah yang terdapat padaku di laci keretamu.
Sepanjang perjalanan radiomu mendendang irama kesukaanmu
Bukan lantunan ayat-ayatku
Di meja kerjamu tidak ada aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja.
Di Komputermu pun kau putar muzik kegemaranmu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku melantun.
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kadang kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan duniamu.
Benarlah dugaanku bahwa engkau kini sudah benar-benar melupakanku
….
Bila malam tiba engkau tahan berjam-jam di depan TV
Menonton pertandingan Liga Italia , muzik atau citrawara
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekedar melayari maya...

Waktupun cepat berlalu…aku menjadi semakin kusam dalam lemari.
Mengumpul debu dilapisi abu dan mungkin dimakan kutu.
Seingatku hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali.
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu.
Engkaupun kini terbata-bata dan kurang lancar lagi setiap membacaku.

Apakah akhbar, TV, radio , komputer, dapat memberimu pertolongan?
Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba.
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya.
Hanya dengan ayat-ayat Allah yang ada padaku engkau dapat selamat melaluinya.
Sekarang engkau begitu mudah membuang waktumu…
Setiap saat berlalu… kuranglah jatah umurmu…
Dan akhirnya kubur sentiasa menunggu kedatanganmu..
Engkau bisa kembali kepada Tuhanmu sewaktu-waktu
Apabila malaikat maut mengetuk pintu rumahmu.!!!

Bila aku engkau baca selalu dan engkau hayati…
Di kuburmu nanti….
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri.
Bukan akhbar yang engkau baca yang akan membantumu.
Tapi Akulah “Qur’an” kitab sucimu.
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.
Peganglah aku lagi …. bacalah kembali aku setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat suci.
Yang berasal dari Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Yang disampaikan oleh Jibril kepada Muhammad Rasulullah s.a.w.
Agar engkau senantiasa mengingati Tuhanmu…

3.11.10

BICARA NISTA

Lidahmu bagaikan sembilu
Meniti bicara nista
Membongkar rahsia insan
Menyingkap takbir kehormatan
Berlebihan bicaramu

Membakar kehormatan orang lain
Curang pada persahabatan
Mencela!
Lidah bercabang
Lantaran kemunafikanmu

Pada bayangan senyuman manis
Penuh dengan kepalsuan
Kata nista meniti dibibir
Yang akhirnya jiwa terpesong
Lantaran kotor jiwamu
Penuh kedurjanaan

 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
'' Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan syaitan."( Thabarani & Ibnu Itibban)


 Jangan menampal dunia dengan mengoyakkan akhirat.

Janganlah menjadi begitu masin..
sehingga orang meludahmu.
Dan janganlah pula berlakuterlampau manis,
sehingga mereka menelan dirimu begitu saja...

SAHABAT

Memilih sahabat sama ertinya dengan memilih masa depan
Memilih sahabat sama ertinya dengan memilih perilaku
Memilih sahabat sama ertinya dengan memilih kualiti ilmu

Maka siapapun yang ingin masa depannya cerah ,
perilaku menawan hati,
serta luas ilmu dan wawasannya
maka ia harus sangat pandai memilih teman
Kita akan sukar berkembang bila sehari-hari bergaul dengan orang-orang malas
Kita pun akan sukar meraih kemuliaan akhlak
bila sehari-hari kita bergaul dengan orang yang buruk akhlaknya
Maka tinggi rendahnya kualiti seorang manusia sangat dipengaruhi oleh orang yang menjadi sahabatnya

Rasullullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"sesorang itu adalah menurut agama sahabat(karib)nya.  Kerana itu ada baiknya seseorang dari kamu meneliti dulu siapa yang akan dijadikan sahabat"

Rasullullah bersabda, maksudnya:
"sesungguhnya, Allah tidak melihat rupa paras dan harta benda, tetaoi melihat amalan dan niat kamu."


Renung-renungkanlah! 

28.10.10

INSAF SEKEJAP

by Nurani Hani on Thursday, October 28, 2010 at 1:06pm

Benarkah wujud istilah 'insaf sekejap'? Ya, ia wujud.
Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar.
Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal.
Saya juga tidak terkecuali.

Kisah Hanzalah
 Saya teringat sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulallah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi'.
Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, 'Hanzalah telah munafik!'.
Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu.
Lalu jawab Hanzalah, "Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!
Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, "Demi Allah, aku juga begitu". Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulullah untuk mengadu akan masalah ini.
Lalu Rasulullah bersabda, "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"

Manusia Biasa
Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun.
Dalam mendefinasikan perkataan insaf, saya cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil 'kesal'.
Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat!
Maka izinkan saya menggantikan perkataan insaf dengan perkataan taubat.

Taubat Yang Berulang
 Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulallah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah.
Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat.
Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali.
Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!
Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!

Mahu Kekal
Setiap orang, tempoh 'sekejap' mereka adalah berbeza-beza.
Ada orang yang 'insaf sekejap'nya ialah beberapa hari dan ada juga yang 'insaf sekejap' nya cuma beberapa minit.
Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?
Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 39 yang bermaksud :
Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh.
Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan.
Ya, harus banyak berdoa!

Kesimpulan
Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya 'sekejap' ini tidak akan selamanya sekejap.
Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.


27.10.10

7 GOLONGAN YANG AKN MENDAPAT PERLINDUNGAN ALLAH

by Nurani Hani on Wednesday, October 27, 2010 at 4:53pm

Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan dari Allah , dihari yang tidak ada perlindungan, kecuali hanya perlindungan Allah :
  1. Pemimpin yang adil dan hakim yang adil
  2. pemuda yang taat beribadah kepada Allah s.w.t
  3. hamba Allah yang hatinya senang berada di dalam masjid.  Solat berjemaah, suka solat subuh berjemaah.
  4. orang yang bersedekah, tangan kanannya memberi, tapi tangan kirinya tidak tahu.
  5. orang yang saling mencintai kerana Allah, bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
  6. pemuda yang dirayu, digoda oleh wanita cantik yang memiliki kekayaan, lalu ia berkata "aku takut kepada Allah" keinginan maksiatnya ada tapi rasa takutnya kepada Allah lebih hebat sehingga ia tidak mahu melakukan kemaksiatan.Keimanannya hebat sehingga mampu menahan berbagai godaan.
  7. Orang yang selalu ingat kepada Allah, dalam ibadahnya, dalam doanya, dalam zikirnya, dia menangis.  Dua titisan yang dibanggakan Allah dihari kiamat, pertama titisan darah fisabilillah, kedua titisan airmata kerana menangis, takut azab Allah kerana merasa bersalah atas segala dosa yang dilakukan kepada Allah.  Kerana dia sangat taat kepada Allah. 

Renungakanlah wahai sahabat.
Semoga kita mendapat perlindungan dari Allah dihari yang tiada perlindungan, kelak.

"Allah maha pengampun atas segala kesalahan dan dosa dari hamba-hambaNya. Maka dari itu kepada sesiapa pun diantara hamba-hambaNya yang berbuat dosa; Allah memberi khabar gembira bahawasanya janganlah mereka berputus asa dan merasa diri mereka telah tertutup dari rahmat Allah. Sungguh Allah akan menerima taubat dari hamba-hambaNya yang bersunguh-sungguh berserah diri dengan ikhlas dan tidak akan melakukan kembali perbuatan serupa."                         (Az-Zumar, 39 : 53)